Noraniza Idris & Tyka Lancar Single 'Wangikanlah Hatimu'



Assalamualaikum & Salam Sejahtera gais. Sudah lama kita tak dengar lagu-lagu Irama Malaysia dicorong-corong radio kan? Suatu ketika dahulu, banyak lagu Irama Malaysia yang mendapat tempat di hati peminat. Pada 27 Februari lalu, telah berlangsungnya majlis pelancaran single terbaru Noraniza Idris & Tyka di  LClasico Publika, Kuala Lumpur. 



Siapa tak kenal Ratu Irama Malaysia, Noraniza Idris kini tampil dengan lagu terbarunya yang berjudul "Wangikanlah Hatimu". Lagu ini adalah lagu duet Noraniza Idris bersama Tyka, yang merupakan peserta daripada rancangan program realiti ‘3 Juara’ di dalam kategori Irama Malaysia. Lagu baru Noraniza Idris bersama Tyka ini pernah dipersembahkan ketika pentas akhir 3 Juara pada 15 Januari 2017 yang lalu. 


Single yang berkonsepkan Pop Etnik dan Tradisional ini adalah ciptaan seorang komposer muda dibawah naungan Luncai Emas Sdn Bhd iaitu Amir Jahari dan AGCoco serta lirik ditulis oleh Ahmad Fedtri Yahya. 



Proses persediaan single ini sangat kemas dan tidak mengambil masa yang lama untuk disiapkan. Sepanjang 2 bulan bermula daripada perbincangan dengan Amir Jahari, penyesuaian melodi telah dibuat mengikut keserasian vokal nyanyian dan karakter dalam lagu. Single Irama Malaysia ini adalah sebuah penerbitan pertama bagi tahun 2017. 


Single ini merupakan kerjasama Luncai Emas Sdn Bhd dan Noraniza Idris Production Ventures Sdn Bhd (NIPVSB) sebagai tanda menyokong irama tradisi kita secara berterusan. Luncai Emas bertindak sebagai pengedar manakala NIPVSB adalah penerbit untuk lagu ini. Lagu ini akan dipasarkan terus secara digital melalui saluran iTunes Store dan aplikasi streaming (Spotify, Joox, Apple Music , Yonder Music dan lain-lain). 


KEMPEN hashtag 'saveiramamalaysia'
Kempen hashtag 'saveiramamalaysia' adalah kempen bagi mendapatkan sokongan pelbagai pihak untuk mengangkat irama Malaysia ke tahap global tanpa menjejaskan keunikan dan keaslian irama ini menerusi pemantauan khusus untuk terus bersaing dalam industri muzik Malaysia. Kempen ini bermula pada 15 Januari 2017 dan akan berakhir pada 31 Ogos 2018. Dianjurkan oleh Noraniza Idris Production Ventures Sdn Bhd.

Post a Comment

0 Comments